Harian Metro: Sanchez ‘peluru’ Gunners

Musim lalu, Alexis Sanchez (gambar) menampilkan aksi mempesona di Liga Perdana Inggeris dan justeru, tidak hairanlah mengapa penyokong setia Arsenal sering melaungkan namanya sambil mengharap sentuhan magis pemain antarabangsa Chile itu mampu melonjakkan Gunners sekali gus menamatkan kemarau kejuaraan Liga Perdana yang sudah terlalu lama dirasakan.

Sanchez menyertai Arsenal dari Barcelona pada Julai 2014 dan bersama kelab gergasi Sepanyol itu, dia membuat 88 penampilan serta menjaringkan 39 gol sepanjang tiga musim di Nou Camp.

Bersama Barcelona, Sanchez menjulang gelaran La Liga serta Copa del Rey pada musim 2012/13 selain memenangi dua kejuaraan Piala Super Sepanyol pada 2011 dan 2013. Dia juga merasakan diri­nya bertuah kerana berpeluang menjulang Piala Super UEFA 2011 dan Piala Kelab Dunia FIFA 2011.

Dilabel selaku salah seorang pemain yang mempunyai bakat semula jadi paling menyerlah, Sanchez tampil mencuri tumpuan ketika Piala Dunia Brazil tahun lalu iaitu ketika dia membantu negaranya layak ke pusingan kalah mati.

Paling menarik, kumpulan yang disertai Chile bukanlah calang-calang sebaliknya menampilkan Belanda, Sepanyol serta Australia. Sanchez dan rakan-rakannya tidak mempedulikan nama-nama besar yang ada di dalam skuad lawan sebaliknya mereka cemerlang untuk bergelar ‘giant killer’ pada temasya bola sepak terbesar dunia itu.

Sepanjang beraksi di Brazil, Sanchez meledak dua gol dari empat penampilan.

Penyerang yang lahir di Tocopilla, Chile pada 19 Disember 1988 itu memulakan karier bola sepak­nya bersama kelab Cobreloa yang berpangkalan di Calama di utara Chile. Selepas semusim, dia berpindah ke kelab yang berpangkalan di Santiago, Colo-Colo dan di situlah dia menjulang Liga Perdana Chile buat kali pertama pada 2007.

Selepas mempamer persembahan mengagumkan di Chile antara 2005 dan 2007, Sanchez dipinjamkan ke kelab Argentina, River Plate dan dia memenangi gelaran Liga Perdana Argentina.

Kejayaannya di Amerika Selatan membuatkan Sanchez mula meng­impikan untuk melakar jejak yang lebih baik dan kali ini dia memilih untuk berpindah ke Serie A untuk bersama Udinese pada 2008 di mana dia menghabiskan tiga musim, menjaringkan 20 gol sepanjang 95 penampilan sebelum berpindah ke Barcelona pada 2011.

Setakat dua aksi Arsenal musim ini, Sanchez belum lagi mempamer taring tetapi pengurus Arsene Wenger, rakan sepasukan serta peminat percaya dia hanya menunggu masa sesuai untuk menunjukkan belangnya.

“Alexis adalah seorang pemain yang matang dan saya yakin dia akan membuktikan kebolehannya musim ini. Tahun lalu dia sekadar memanaskan badan dan saya percaya musim 2015/16 adalah miliknya,” kata Wenger.
Dikuasakan oleh Blogger.