Berita Harian: Pemain simpanan jadi 'senjata' Arsenal

Pemain simpanan menjadi senjata paling tajam Arsenal dalam membantu mencabar kejuaraan Liga Perdana Inggeris (EPL) musim ini apabila kemenangan 3-1 ke atas Stoke City membuktikan Arsene Wenger mempunyai banyak pilihan. 


Memiliki pemain simpanan yang efektif adalah penting buat sesuatu kelab yang mensasarkan kejuaraan dengan 'Plan B' The Gunners setakat ini membuktikan mereka mampu membantu pasukan itu meraih kemenangan.

Arsenal berdepan tamparan apabila pertahanan tengah, Shkodran Mustafi terpaksa dikeluarkan akibat kecederaan hamstring pada babak pertama yang menyaksikan bek kanan, Hector Bellerin dimasukkan. 

Pemain Sepanyol itu membuat umpanan untuk gol penyamaan Theo Walcott bagi memadam kelebihan jaringan penalti Charlie Adam dan seorang lagi pemain simpanan, Alex Iwobi meledak gol ketiga pada babak kedua selepas menggantikan Alex Oxlade-Chamberlain. 

Pemain simpanan Wenger kini sudah meledak gol dan membantu lebih satu pertiga daripada 36 jaringan kelab itu dalam saingan liga musim ini dengan jumlah itu adalah terbanyak berbanding pasukan lain. 

"Saya memiliki kualiti di bangku simpanan dan tiada seorang pemain pun yang anda boleh persoalkan hari ini," kata Wenger.

Mereka juga belum lagi tewas selepas ditundukkan pada perlawanan pembukaan musim ini, meledak lebih banyak gol berbanding pasukan lain dan gandingan Alexis Sanchez dan Mesut Ozil muncul antara duo paling berbisa musim ini. 

Dengan jadual padat yang sukar menanti mereka bermula dengan kunjungan ke Everton, Wenger mahukan anak buahnya mengekalkan momentum yang sudah dilakar setakat ini. 

"Kami menjadi bertambah yakin dan bercita-cita tinggi namun apa yang lebih penting adalah kami terus mengekalkan kualiti dan semangat berpasukan pada tahap lebih tinggi. 

"Kami perlu menunjukkan elemen itu pada setiap perlawanan. Selepas itu baru kita lihat di mana kedudukan kita."

Selanjutnya di : http://www.bharian.com.my/node/222616
Dikuasakan oleh Blogger.