Breaking

Semangat Arsenal di majlis kahwin

PELBAGAI tema majlis perkahwinan dicipta untuk diabadikan dalam lipatan sejarah kehidupan pasangan pengantin sehingga ke anak cucu.

Ada yang merealisasikan mahu tema persandingan dengan sentuhan ala Inggeris, Arab, kisah fantasi dan apa saja mengikut cita rasa masing-masing.

Lain pula kisah merpati sejoli ini. Tetamu dikejutkan dengan majlis perkahwinan bertemakan sentuhan pasukan bola sepak, Arsenal yang dianggap unik bagi Dr Muhammad Aqeel Ahamad, 25 dan Deena Elin Che Khalib, 25, yang diadakan pada 2 April lalu.

Dekorasi majlis, replika padang bola sepak mini, menu makanan, kumpulan pengapit, penyambut tetamu dan penyedia makanan semuanya segak menyarungkan jersi Arsenal.


Malah, majlis disajikan dengan tontonan perlawanan Arsenal selama beberapa minit menerusi skrin besar membuatkan tetamu teruja dengan mencipta kelainan pada majlis yang cukup meriah.

Pada majlis itu tetamu juga dihidangkan makanan dan minuman ringan sepanjang menonton perlawanan dari pasukan Arsenal.

Minat Arsenal dari kecil

Pengantin lelaki, Muhammad Aqeel berkata, pemilihan tema itu adalah sejajar dengan minatnya yang begitu mendalam dalam sukan bola sepak antarabangsa sejak berusia enam tahun dan tidak pernah gagal menyaksikan setiap kali perlawanan pasukan itu.

"Saya memang minat dan sayangkan pasukan ini. Saya suka cara mereka bermain dan semangat pasukan yang ditonjolkan setiap kali perlawanan. Ini kelebihan pasukan Arsenal.

"Bagaimanapun saya bukan pengumpul tegar koleksi Arsenal. Cuma ada beberapa jersi yang saya jadikan koleksi peribadi," katanya kepada BH.

Sebagai peminat tegar Arsenal, beliau mengakui tidak akan melepaskan sebarang perlawanan membabitkan itu dan sanggup bangun awal pagi untuk menyaksikan pasukan itu bertarung.

Cinta menyatukan dua hati


Muhammad Aqeel, berkata isterinya tidak minat bola sepak, apatah lagi untuk menggemari pasukan Arsenal jauh sekali kerana selalu cepat bosan menyaksikan perlawanan sukan berkenaan.

Bagaimanapun, indahnya cinta itu, mengenepikan segala-galanya apabila isteri kesayangannya tetap memberi sokongan dan menemani beliau menonton perlawanan pasukan kegemarannya itu.

"Deena Elin sentiasa ada dengan saya walaupun menonton perlawanan bola sepak bukan sesuatu yang menyeronokkan baginya.

Idea perunding perkahwinan

Muhammad Aqeel yang bertugas sebagai doktor di sebuah hospital di ibu kota, berkata tema perkahwinan Arsenal menjadi pilihannya selepas dicadangkan oleh perunding perkahwinan mereka, Muhd Nazrul Nazaruddin dari Nas Great Idea Weddings.

"Dia menyuarakan pendapat supaya saya menggunakan tema pasukan ini selepas mengetahui saya suka sangat Arsenal.

"Biasanya, majlis perkahwinan berpakaian formal dan kasual. Memang untuk menjadikan suasana perkahwinan ini menjadi realiti bukan sesuatu yang mudah. Kami cuba yang terbaik untuk keluarga dan tetamu," katanya.

Beliau berkata, semua rakannya amat 'sporting' kerana sedia menyarung jersey Arsenal ketika perkahwinannya walaupun bukan semua peminat Arsenal, tetapi atas dasar persahabatan mereka tidak kisah.

Tema simbolik warna Arsenal

Muhammad Aqeel berkata, istimewa perkahwinan itu juga ialah warna merah putih yang menjadi warna asas pasukan itu diadaptasi dalam keseluruhan tema perkahwinannya.

Penyambut tetamu dan kebanyakan tetamu memakai warna tema itu yang dilihat turut memberi sokongan kepada minatnya itu.

Merahsiakan kos perbelanjaan perkahwinan, Muhammad Aqeel berkata, paling menggembirakan adalah ketika keluarga dan isterinya bersetuju tema bola sepak itu menjadi tema perkahwinan mereka.

"Cuma saya dan isteri tidak menyarungkan jersi kerana mahu mengekalkan konsep formal dalam perkahwinan kami.

"Paling tidak sangka, perkahwinan kami menjadi viral di laman sesawang sehingga menarik perhatian dunia untuk memaparkan keistimewaan tema pilihan ini," katanya.

Ia menjadi sejarah apabila penerbitan luar negara seperti laman web Metro UK, Fox Sports Asia mengabdikan cerita cinta ini di laman mereka dan ia menjadi trending.

Umpama stadium bola sepak

Tema perkahwinan berpakaian pasukan bola sepak terkemuka dunia, Arsenal dianggap antara tugas paling unik dilakukan oleh Muhd Nazrul sebagai perunding perkahwinan.

Majlis diadakan bagaikan stadium bola sepak apabila rakan pengantin memakai jersi Arsenal dan tetamu lain menyarung pakaian berwarna merah putih.

"Idea seperti ini sudah lama saya pendamkan, cuma keterbatasan sebab tiada pelanggan yang bersedia mengambil tema ini. Cabarannya ialah dalam aspek kejuruteraan, iaitu perlu bina pentas dengan terperinci untuk keseluruhan dewan utama.

"Tetamu berada di atas pentas itu, pengantin pula berada di lantai biasa. Ia umpama kawasan stadium," katanya.

Tampil tema maskulin

Muhd Nazrul berkata, untuk pengantin lelaki, tema ini begitu bersesuaian kerana nampak maskulin dan bertenaga.

"Saya kurangkan pelamin berbunga atau penggunaan warna lembut. Gunakan warna terang dan saya tampilkan petugas memakai jersey, pengadil dan pengurus pasukan, seolah-olah perkahwinan dalam stadium.

"Istimewanya, saya sediakan jersey asli yang mana ditandatangani kesemua pemain Arsenal khas untuk semua tetamu sehingga mengejutkan ramai tetamu," katanya.

Idea eksklusif

Beliau beranikan diri membuat tema berbeza daripada biasa dan pastinya pelanggan akan menyukai kerja berkenaan.

"Sebelum itu, saya keluarga ini juga mengambil saya sebagai perunding perkahwinan dan mereka menyukai dan berpuas hati dengan kerja saya. Jadi mereka mengambil saya lagi untuk mengendalikan majlis perkahwinan itu.

"Perkahwinan ini memang paling unik. Bermula daripada tayangan perlawanan sehingga kepada pelayan membawa set burger dan minuman bergas serta bertih jagung, ia memang menarik dengan posisi kedudukan tetamu seperti dalam stadium sebenar," katanya.

Tiada ulasan:

Dikuasakan oleh Blogger.