FA CUP: Arsenal 3-2 Aston Villa / Post-Match (Kebangkitan Yang Dinantikan!)

Perlawanan dalam persaingan merebut Piala FA antara Arsenal dan Aston Villa ternyata satu kebangkitan yang dinantikan oleh para penyokong tegar Arsenal. Dengan barisan pemain Aston Villa yang menggunakan formasi serangan ditambah lagi dengan kehadiran pemain penyerang pinjaman Robbie Keane.

Arsenal seperti biasa menggunakan formasi 4-5-1 dengan Fabianski diberikan kepercayaan untuk menjaga gawang. Vermaelen mengisi bahagian fullback kiri, Koscielny dan Mertesacker dibahagian centreback manakala Coquelin yang baru pulih dari kecederaan diletakkan dibahagian fullback kanan.

Pada peringkat awal, Coquelin kerap kehilangan bola dan beberapa kali bocor apabila diserang oleh Agbonlahor. Mungkin faktor keyakinan dan baru pulih dari kecederaan sedikit menghambat prestasi Coquelin.

Barisan tengah Arsenal dikemudi oleh Rosicky dengan begitu baik dan kemas. Alex Song seperti biasa dengan peranan mengekang asakan lawan serta memberikan perlindungan awal untuk barisan pertahanan. Aaron Ramsey bermain dengan rajin tetapi kurang kreatif membuka ruang permainan.

Bahagian sayap kanan, Theo Walcott sesekali cuba mengacah lawan tetapi kurang membuat larian kencang dan gelecekkannya juga kurang kemas. Namun prestasi Walcott meningkat pada separuh masa kedua. Chamberlain diberikan peluang beraksi disayap kiri dan membuat larian bertenaga serta kreatif. RvP mengetuai jentera serangan Arsenal tetapi dikawal ketat oleh pemain Aston Villa.

Pada separuh masa pertama, walaupun kawalan bola serta serangan bertubi kearah gawang Aston Villa, Shay Given yang menjaga gawang cemerlang untuk menafikan gol Arsenal. Rembatan kencang dari Rosicky dan Vermaelen berjaya ditepis keluar. Aston Villa yang mendapat peluang serangan balas yang pantas berjaya merobek gawang Arsenal apabila Richard Dunne menanduk masuk hantaran lintang Robbie Keane.

Pada penghujung separuh masa pertama, Darren Bent merembat kencang tetapi Fabianski berjaya menepis namun rembatan keduanya gagal diselamatkan dan menerjah gawang Arsenal. Pengadil menamatkan separuh masa pertama dengan kedudukan Arsenal 0-2 Aston Villa.

Apabila bermulanya separuh masa kedua, Arsenal kelihatan lebih bertenaga dengan Rosicky menjana gerakan dengan urgency yang tinggi. Alex Song yang mendapat ruang memberikan lorongan cantik kepada Ramsey didalam kotak penalti Aston Vila tetapi dia diasak dengan keras oleh Richard Dunne. Pengadil menghadiahkan penalti dan ianya disempurnakan oleh RvP menjadikan kedudukan Arsenal 1-2 Aston Villa.

Tempo permainan Arsenal semakin meningkat dan serangan dibahagian kanan memberikan ruang buat Theo Walcott tetapi berjaya ditepis oleh Shay Given namun bola muntah kepada pemain pertahanan Aston Villa yang membuat clearance yang kurang kemas lalu melantun ke bahu Theo Walcott dan menerjah gawang Aston Villa.

Asakan demi asakan oleh Arsenal membuatkan penulis berdebar dengan hasil serangan balas dari Aston Villa tetapi Fabianski dan barisan pertahanan berjaya menyerap setiap serangan yang datang. Darren Bent diberikan kawalan lebih ketat dan ini menyekat pergerakannya.

Arsenal membuat serangan balas yang pantas yang dimulakan oleh Koscielny dan akhirnya Darren Bent yang cuba menyekat telah membentes Kosciely daripada belakang didalam kotak penalti memberikan satu lagi sepakan penalti untuk Arsenal. RvP selaku ketua pasukan dan specialist penalti untuk Arsenal telah melaksanakan tugasannya dengan cemerlang memperdaya Shay Given untuk menjadikan kedudukan Arsenal 3-2 Aston Villa.

Mikel Arteta dimasukkan menggantikan Rosicky untuk memberikan game fitness. Penghujung separuh masa kedua, Bacary Sagna dimasukkan menggantikan Theo Walcott, Thiery Henry dimasukkan menggantikan Chamberlain. Coquelin dinaikkan ke posisi sayap kanan.

Secara keseluruhan, tempo permainan Arsenal begitu laju dan sharp passing dipraktikkan sepenuhnya dalam perlawanan kali ini. Ini menyaksikan kebangkitan yang amat diharapkan. Para pemain Arsenal menunjukkan ketahanan mental yang kuat untuk kembali bangkit menundukkan Aston Villa.
Dikuasakan oleh Blogger.