Breaking

Harian Metro: Tuah Reds (Memang Harapkan Tuah Ajelah!)

London: Pengurus Arsenal, Arsene Wenger menyelar keputusan pengadil yang membatalkan gol Aaron Ramsey kerana ofsaid selepas pasukannya seri 0-0 pada perlawanan menarik Liga Perdana Inggeris menentang Liverpool di laman sendiri, awal pagi semalam.

Liverpool menguasai babak pertama aksi di Stadium Emirates, dua kali terkena palang, namun Arsenal berasakan mereka sudah mendahului apabila Ramsey menyempurnakan satu lorongan cantik daripada Santi Cazorla.


Bagaimanapun gol itu tidak disahkan ketika ulang tayang rakaman televisyen membuktikan sebaliknya dan dengan Liverpool bernasib baik apabila gol ofsaid dibenarkan ketika menang 1-0 ke atas Bournemouth minggu lalu, Wenger berasakan tuah menyebelahi lawan sekali lagi.

“Ia gol biasa. Sekalipun ada masanya dalam perlawanan kami berdepan masalah ketika bertahan, saya tidak lihat kenapa ia dibatalkan,” katanya.

“Ia jelas dan kerana itu, anda tidak boleh katakan Liverpool boleh merungut minggu lalu.”

Wenger, yang sering rabun jauh apabila memperkatakan mengenai insiden membabitkan pemainnya, mendakwa beliau boleh melihat secara ‘langsung’ bahawa Ramsey ‘tidak ofsaid’.

Selepas kalah 0-2 di laman sendiri kepada West Ham United pada minggu pembukaan musim, Arsenal kini sudah melalui dua perlawanan di laman sendiri tanpa menjaringkan gol namun Wenger mengakui berasa lega tiada satu pun peluang Liverpool pada babak pertama disempurnakan.

“Saya fikir perlawanan menentang West Ham memberi kesan terhadap fikiran pemain,” kata pengendali Perancis itu, yang menyaksikan percubaan pasukannya terkena palang menerusi Alexis Sanchez pada babak kedua.

“Amat penting malam ini tidak kalah, kerana anda boleh lihat ia mengejutkan kami serta penting mempamerkan aksi konsisten.”
Sumber: Harian Metro

Tiada ulasan:

Dikuasakan oleh Blogger.