Harian Metro!: Sanggup patah balik?
CESC Fabregas tidak menafikan akan pulang ke Arsenal satu hari nanti tetapi berkata, itulah satu-satunya pasukan yang akan disertainya jika meninggalkan Barcelona. Pemain tengah berusia 24 tahun itu kembali ke kelab asalnya, selepas lapan tahun menyarung jersi Arsenal.
Fabregas berkata dia gembira jika dapat bersara sebagai pemain Barcelona tetapi sekiranya dia meninggalkan kelab itu sekali lagi, sudah pasti dia akan kembali ke pangkuan Arsenal.
“Selain Arsenal dan Barcelona, saya tidak nampak kemungkinan untuk bermain dengan kelab lain,” katanya.
“Sudah pasti saya akan kembali ke Arsenal apabila saya mempunyai masa untuk menonton perlawanan dan berjumpa bekas rakan sepasukan tetapi anda tidak tahu apa akan berlaku pada masa depan, mengapa tidak?
“Saya harap akan berada di sini untuk beberapa lama dan mungkin bersara bersama pasukan itu.
“Dalam hidup, tiada yang mustahil dan jika ada satu tempat yang harus saya kembali, ia pastinya Arsenal.”
Fabregas mengakui dia kehilangan motivasi pada musim terakhirnya di Stadium Emirates ketika Arsenal terumbang-ambing dan dia percaya gagal memberi inspirasi kepada rakan sepasukan sewaktu menggalas tugas kapten.
“Kelihatannya seolah-olah pasukan tiada semangat bermain.
“Saya cuba melakukan yang terbaik untuk membantu pasukan dan tiada apa yang saya katakan benar-benar menjadi. Saya pergi ke sesi latihan dan tidak merasai semangat seperti ketika berusia 16 tahun dan saya rasa begitu tepu. Saya fikir di dalam kehidupan semua orang, ada ketikanya mereka mahu memulakan langkah baru.”Begitupun, Fabregas mengakui bukan mudah baginya meninggalkan Arsenal.
“Ia begitu sukar, keputusan paling sukar pernah saya lakukan biarpun menjadi impian saya untuk beraksi bersama Barcelona.
“Saya tidak berasa malu untuk mengatakan pada hari terakhir bahawa saya berterima kasih kepada Arsene Wenger. Saya tidak boleh bercakap banyak. Saya tidak malu untuk mengatakan saya hampir menangis. Ia sungguh emosional,” katanya.Sumber: Harian Metro!
Tiada ulasan: